cintai alam

Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau


Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau: Salah satu jenis hutan yang utama dan penting di Malaysia adalah Hutan Paya Bakau. Ianya menjadikan negara Malaysia kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna. Keunikan hutan bakau yang tumbuh di persisir pantai dan muara sungai di mana pertembungan antara darat dan laut serta pertemuan ait tawar dan masin mewujudkan satu lokasi kepelbagaian bio yang unik dan menarik.

Hutan Paya bakau melengkapkan ekosistem dipesisir pantai yang mempunyai peranan penting dalam kestabilan bentuk alam ini. Peranannya yang menjadi benteng pemecah ombak yang mampu menghalang hakisan dan ancaman bencana alam dari laut.

Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau

Hutan Paya Bakau Di Malaysia

Hutan paya bakau di Malaysia hidup subur di muara dan pantai yang terlindung. Hutan bakau di Malaysia meliputi kawasan seluas 586,036 ha; 57% daripadanya terletak di Sabah, 26% di Sarawak dan 17% lagi di Semenanjung Malaysia. Sabah mempunyai kawasan hutan paya bakau yang terbesar berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Antara ciri-ciri penting habitat hutan paya bakau ialah:

  1. Tahap kemasinan yang tinggi
  2. Kandungan oksigen yang rendah di dalam air dan tanah
  3. Tanah berlumpur dan lembut
  4. Dipengaruhi air pasang surut

Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau

Walau bagaimanapun, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang mendiami kawasan hutan bakau telah menyesuaikan diri dengan persekitaran sebegini dengan membentuk beberapa ciri penyesuaian yang istimewa.

Kepelbagaian Biologi

Hutan paya bakau mempunyai keunikan dan keindahan alam semulajadi yang sungguh menakjubkan. Ianya menjadi lokasi faura dan fauna hebat yang hidup saling perlu-memerlukan dalam meneruskan kesinambungan dan mengekalkan kewujudan hutan paya bakau ini. Kepelbagaian bio di sini sungguh mengagumkan.

Hutan paya bakau merupakan tempat tinggal bagi lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Empat genus utama tumbuhan pokok bakau yang mempunyai penyesuaian paling ketara ialah Avicennia (Api-api), Rhizophora (Bakau), Sonneratia (Perepat) dan Bruguiera (Berus/Tumu). 

Habitat di hutan paya bakau menampung jumlah haiwan yang besar, daripada yang paling halus (zooplankton) sehinggalah kepada reptilia yang besar iaitu Buaya Muara. Penghuni hutan paya bakau yang paling biasa ditemui ialah Ketam Rebab, Ketam Lumpur, Ikan Belacak, Ular Bakau, Lotong Kelabu, Memerang Licin, Berok dan Kelawar. 

Banyak spesies ikan, krustasia dan udang menakluki kawasan bakau semasa air pasang untuk mencari makanan. Siput, tiram dan teritip pula merupakan hidupan yang bergerak perlahan atau tidak bergerak langsung yang boleh dijumpai di atas akar pokok bakau.

Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau

Haiwan yang paling menarik di kawasan bakau dan dataran lumpur berhampirannya ialah spesies burung air dan burung pantai. Burung-burung ini memakan pelbagai jenis makanan, termasuklah plankton, tumbuh-tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan. 

Burung-burung ini mempunyai ciri-ciri penyesuaian khas yang merangkumi saiz dan bentuk paruh, leher, kaki dan kibaran sayap yang disesuaikan dengan tabiat pemakanan yang tertentu. Burung air besar iaitu Burung Bangau (Bangau Kecil dan Bangau Besar), Burung Pucung (Pucung Keladi dan Pucung Seriap) dan Burung Upeh (Burung Upeh dan Burung Botak) adalah penghuni kawasan bakau yang lazim ditemui. 

Lainlain burung bakau termasuklah Helang Merah, Helang Siput, Burung Pacat Bakau, Murai Bakau,
Burung Sambar Biru Bakau dan Pekaka Sungai. Kesemua burung ini lazim dijumpai di kawasan hutan paya bakau.

Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau

Bersama kita menjaga dan memelihara keindahan alam semulajadi yang istimewa ini. Kepentingannya kepada kestabilan alam dan kehidupan tidak dapat disangkal lagi. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk sama-sama mengekalkan kewujudan hutan paya bakau di negara ini. Sayangi dan cintai hutan paya bakau kita.

rujukan : portal malaysia

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog Cinta Kepada Alam - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 AlamBlogr - All Rights Reserved